
Pernahkah anda terfikir kenapa bau durian boleh dihidu dari jauh? Ada orang yang sangat suka baunya tapi ada juga yang terus tutup hidung apabila terhidu bau durian.
Durian menghasilkan lebih daripada 40 jenis bahan kimia yang bercampur menjadi satu bau yang sangat unik. Ada yang kata baunya seperti bawang, keju, malah ada juga gambarkan baunya seperti telur tembelang!
Gabungan semua bahan kimia inilah yang menghasilkan bau durian yang sangat kuat. Tetapi kenapa pokok durian menghasilkan bau sebegitu? Sebenarnya, bau yang kuat itu Allah ciptakan dengan pelbagai kelebihan!

Sebenarnya, bau tersebut membantu haiwan mencari durian yang sudah masak. Apabila ianaya gugur ke tanah, haiwan seperti musang, tupai dan babi hutan dapat menghidu baunya dari jauh. Mereka akan memakan isi durian dan membawa bijinya ke tempat lain.
Biji-biji yang ditinggalkan di tanah boleh tumbuh dan menjadi pokok durian baharu. Ini bermaksud haiwan membantu menyebarkan benih durian secara semula jadi!
Bukan itu saja, bau yang kuat ni juga mempengaruhi pendapat orang ramai mengenai durian. Kalau baunya sedap sangat, pasti ianya disukai ramai dan mungkin menyebabkan harganya lebih mahal (Okay yang ni gurau je :P)
Selain berbau kuat, durian juga mempunyai kulit yang sangat berduri. Duri pada kulit durian berfungsi sebagai perlindungan ketika buah masih berada di atas pokok. Haiwan sukar memakan buah yang belum masak kerana kulitnya yang keras dan berduri.

Apabila buah sudah benar-benar masak, tangkainya akan menjadi lemah dan buah akan gugur sendiri ke tanah. Sebab itulah kebiasaannya kita akan menunggu durian gugur, bukan memetiknya dari atas pokok.
Tahukah anda?
Walaupun durian terkenal sebagai "Raja Buah", pokok durian sebenarnya bergantung kepada haiwan kecil untuk menghasilkan buah. Pada waktu malam, bunga durian akan mengeluarkan bau yang menarik perhatian kelawar dan beberapa serangga.
Semasa haiwan-haiwan ini menghisap nektar bunga, debunga akan melekat pada badan mereka dan dipindahkan ke bunga yang lain. Proses ini dipanggil pendebungaan, dan tanpa pendebungaan, buah durian tidak dapat terbentuk.
Jadi, setiap kali kita menikmati seulas durian yang manis, ingatlah bahawa kelawar, serangga dan pelbagai haiwan lain sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan buah kegemaran ramai ini!